Klopp dijangka milik Liverpool Khamis atau Jumaat ini
LONDON: Jurgen Klopp dijangka menandatangani kontrak bersama Liverpool pada Khamis atau Jumaat ini, menurut media British hari ini.
Daily Mail melaporkan bekas pengendali Borussia Dortmund itu dijangka mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara itu dengan lembaga pengarah kelab berkenaan hari ini.
Jika kedua-dua pihak bersetuju, Klopp, 48, bakal mengikat kontrak selama tiga tahun sebagai pengendali skuad The Reds bagi menggantikan Brendan Rodgers yang dipecat pada hujung minggu lalu.
Klopp menjadi pilihan utama kelab untuk menggantikan Rodgers, meskipun nama bekas pengendali Real Madrid dan Chelsea, Carlo Ancelotti turut disebut-sebut.
Liverpool sebelum ini menurut Daliy Mail, sudah pun bertemu dengan Klopp.
Bekas pengendali Dortmund itu semalam dilaporkan meminta supaya pemilik Liverpool, Fenway Sports Group memberinya kuasa mutlak untuk membuat keputusan berhubung pengambilan pemain.
Sementara itu Mirror melaporkan Klopp bakal diperkenalkan sebagai pengurus baharu Liverpool sebelum penghujung minggu ini.
Perbincangan untuk mengikat pengendali Jerman ini berjalan pantas sebaik saja Rodgers dipecat pada Ahad lalu. - AGENSI